[Tumblr]
Athirah Zainul itu dahulu lumrahnya tabah
biar badai setinggi gunung datang menghempap
dia akan kekal berdiri teguh di pinggiran persada dunia
mesti pun ada masanya dia tersadung jatuh
pasti dan sepastinya dia akan bangkit semula
dan pasti sepastinya dia akan kekal tabah
Tapi hakikatnya kekuatan hati dan nurani itu
sebenarnya adalah suatu bentuk rahmat dari Tuhan yang satu
yang mana kekuatan yang kau rasa bukan semata-mata kudrat kau sahaja
tetapi itu adalah kekuatan kudrat yang Allah pinjamkan untuk hatimu yang asalnya lemah
agar kamu dapat lalui dugaan yang Allah turunkan buatmu dengan penuh hikmah
dan agar kau bersyukur dengan nikmat dari Tuhan yang Maha Esa
sungguh segala yang baik itu datang dari Allah
dan yang buruk itu dari khilaf dirimu sendiri
[2]
Lalu Athirah Zainul itu pun diajar oleh TuhanNya
mengenai hakikat kehidupan yang satu ini
lalu kini kau boleh lihat Athirah Zainul itu
sudah bertukar lumrah nuraninya
yang mana dahulunya dia selalu tabah
tapi kini dia mudah rebah
pernah suatu malam itu dia bersendiri
dan bagaikan dihantui beban emosi
dia terus terusan menangis
andai kata ada yang melihat keadaannya saat itu
pasti sudah dihantarnya Athirah Zainul berjumpa doktor jiwa
tetapi andai saja mereka merasa
rasa yang sama penyebab mengalirnya air matanya itu
sudah pasti mereka juga turut serta bersama Athirah Zainul
saling teresak esak berbengkakan mata
bukanlah dia menangis itu kerana putusnya cinta
bagaimana mungkin ? kekasih pun dia belum ada
tetapi menangisnya itu kerana
sakit dan perit yang ada di dalam dunia
sakit dan perit yang dirasa setiap manusia
seakan-akan dapat dirasa dengan jelas oleh dia juga
segala perasaan sakit dan terasa hati yang dipendamnya dari dahulu kala
bagai serentak semua datang semula menyapa dirinya
Athirah Zainul jadi takut dengan dirinya
Athirah Zainul jadi benci dengan dirinya
[3]
Rata rata orang tidak gemar dengan orang yang sifatnya mudah menangis
Dirasanya lemah tidak gagah barangkali
Tetapi seandainya mereka faham bahawa meskipun dengan sifatnya sedemikian rupa
Dia masih seorang manusia yang sama seperti yang lain juga
"Si Fulan dan Si Fulan itu dugaannya berkali kali ganda lebih besar,
selamba tabah sahaja aku lihat berbanding kau yang mudahnya remuk hati
pada perkara yang tidak semena mena!"
kata kata yang datangnya dari lidah tidak bertulang
terasa menusuk kalbu tajam menikam
"lain orang lain dugaannya
apa kuasa kau mengukur besar kecil dugaan itu
dan membanding banding antara upaya aku dan si Fulan itu!"
hatiku membentak bentak
tetapi mulutku kekal terkunci rapi
andai saja mereka tahu alkisah Athirah Zainul yang sebenarnya
dari kecilnya dia sehingga besar sedemikian rupa
andai sahaja mereka tahu betapa peritnya
apabila tidak mampu meluahkan dengan kata-kata
segala sakit yang dirasa
apabila kau tidak mampu menjelaskan dengan nyata
dan orang orang pun tidak tahu perkara apa yang menyebabkan kau berduka
lalu dengan terus menerus mereka mengulang perkara yang sama
dan terus menerus mencangkul tajam di kawasan hati yang berparut luka
dan apabila salah kau yang sedikit dibesar- besarkan
dan apabila apa yang asalnya itu salah orang lain
dibalikkan semula kepada kau hingga jadinya kau
yang akhirnya rasa bersalah
dan kau pun lama terkelamaan jadi bingung
terkeliru turut membenci diri sendiri
kau jadi yakin semua yang berlaku banyaknya kerana salah kau sendiri
kau jadi yakin kau punyai kekurangan yang menggunung tinggi
dan sekarang mahu sekali aku bertanya
apa maniskah rasanya kalau kau hidup dengan membenci diri kau sendiri?
-Athirah Zainul bukan menyalahkan takdir
atau Tuhan yang menciptakannya
dia menyalahkan dirinya
kerana dia tidak menggunakan
nikmat serta peluang yang Tuhan kurnia
untuknya jadi insan yang lebih berguna-
mahu sahaja Athirah Zainul itu mengangkat tangan berdoa
agar mulut mulut yang berkata dia itu lemah
merasakan perit sama yang dia rasa
tetapi Athirah Zainul tidak mahu mereka terseksa
andai kata dikabul permintaannya itu oleh Tuhan yang esa
[4]
Aku menulis ini bukan untuk meminta simpati
Jauh sekali untuk menyalahkan sesiapa
Aku terima segala apa yang terjadi
dan aku yakin semua itu adalah ketentuan Illahi
agar aku mulakan perjalanan mencariNya di elah fatamorgana duniawi
Kau nak tahu ?
Bila kau rebah sendiri dan tiada satu pun manusia yang fahami
Kau jadi sedar bahawa Allah lah yang sentiasa ada di sisi
Di saat kau rebah semua orang pun membenci
kau dongak ke langit dan sedar Allah itu sedang memerhati
Dan sungguh ,
Allah itu sememangnya sudah cukup bagiku.
Dan untuk kau pula yang membaca ,
Jangan cuba-cuba paksakan diri menabur simpati kepada aku
kerana bukan itu yang aku ingini
Aku cuma inginkan kau,
mula biasakan diri
belajar untuk faham sebelum kau menghentam
May peace be upon us all
Athirah Zainul
July 2016