Aku kini kembali menulis coretan di Blog Panda Ketinggalan
Zaman ini dalam Bahasa Melayu . Kerana apa ? Kerana aku ingin tujukan coretan
ini kepada remaja-remaja Melayu di bumi ini .
Aku bukan manusia sempurna . Aku tidak alim . Banyak ilmu
agama yang masih belum aku pelajari . Masih banyak sunnah Rasulullah s.a.w yang
belum aku praktikkan . Masih banyak surah dalam kitab suci Al-Quran yang aku
masih ingat ingat lupa . Tidak sempurna . Tidak alim . Itu aku .
Tapi aku sedih . Sedih tatkala melihat masih ramai
remaja-remaja Melayu di luar sana : sama ada yang lebih muda , sebaya atau
lebih senior dari diri ini masih belum mengenal
erti hidup sebagai seorang Islam .
Hanya kenal Allah sekadar nama . Hanya kenal Nabi Muhammad
s.a.w sekadar nabi yang terakhir dalam
Islam . Hanya mengaku Islam sekadar di bibir . Itupun kerana dilahirkan dalam
keluarga Islam . Kerana status agama yang direkodkan dalam kad pengenalannya
ialah Islam . Hanya solat sekadar “at least aku dah buat” sahaja . Atau lebih
menyedihkan , solatnya itu sekadar “hahh tak payah buat pun takpa” .
Astaghfirullah .
Aku bersyukur . Bersyukur kerana Allah S.W.T memberikan
taufik serta hidayahNya kepada diriku yang hina ini . Membuka mata hatiku untuk
lebih mengenali Penciptaku . Sedangkan dahulu aku seperti remaja-remaja itu .
Dahulu aku pun begitu . Tidak mengenali erti hidup sebagai seorang Islam . Bersolat
sekadar pergerakan anggota badan dan bacaan-bacaan dalam Bahasa Arab yang ku
hafal tanpa memahami . Itu sahaja . Noktah .
Seperti remaja-remaja itu , aku leka . Leka dengan dunia .
Leka dengan cinta monyet yang sementara . Leka dengan hiburan semata-mata . Ada
yang bilang , beramal sebelum terlambat . Sebelum maut datang menjemput . Aku
tahu mati itu pasti . Aku tahu aku akan keseorangan dalam kuburku . Aku tahu
bahawa manusia yang baik akan ke syurga , yang jahat pula disiksa di neraka .
Aku tahu semua itu . Ustaz dan Ustazah di sekolah selalu beritahu . Ibu bapa
aku selalu berpesan padaku . Aku tahu . Tapi apa yang aku tak tahu pada waktu
itu ialah hidup sebagai seorang Islam sekadar ‘aku tahu’ sahaja tidak cukup .
Allah itu indah . Islam itu indah .
Itu hakikat yang aku abaikan . Kerana bagi aku dunia ini
indah . Dunia ini segala-galanya . Tapi aku lupa , sepertimana lupanya
remaja-remaja itu , bahawa keindahan dunia ini sementara .
Segala yang aku cintakan , agungkan , dan banggakan mengenai
dunia ini tidak kekal . Semakin aku cinta , agungkan dan banggakan , semakin
aku sakit . Semakin aku rasakan kekosongan di hati . Semakin aku rasa tidak
puas . Kerana apa ?
Kerana dunia ini seperti air laut yang masin , semakin
diteguk semakin menjadi-jadi dahaga di tekak ini .
Aku menulis coretan ini bukan untuk membuka aib sendiri .
Jauh sekali untuk menghina orang lain . Aku menulis coretan ini untuk
memberitahu bahawa hidayah Allah itu ada . Bahawa Allah itu Maha Pengasih Maha
Penyayang . Bahawa Islam itu bukan penuh dengan larangan semata-mata Islam
itu terlalu indah kerana ianya anugerah daripada Tuhan Yang Maha Indah .
Hidup ini ada tujuan . Carilah tujuan itu . Berpeganglah
kepada tujuan itu . Carilah Allah . Kenalilah Penciptamu . Belajarlah mengenai
Islam . Fahamilah ajarannya .
Aku jamin dengan jamin yang sesungguhnya .
Your heart will never find despair once you found Allah .
Assalamualaikum |
No comments:
Post a Comment